Kisah Seram Aku Berjumpa Pakcik Tua Di Lebuhraya Utara-Selatan. | KISAH BENARKU : Kisah ini merupakan pengalaman sebenar aku semasa dalam perjalanan untuk pergi ke Johor Bahru seorang diri. Aku memulakan perjalanan aku dari Sepang ke Johor Bahru pada pukul 8 malam selepas tamat waktu kerja. JenisAku memang suka pergi ke mana-mana waktu malam sebab kereta dekat highway tak banyak. Memang akan Bluetooth lagu dari Spofity setiap kali aku pergi ke mana-mana.
Semasa dalam perjalanan, aku pasang lagu dengan sangat kuat untuk mengelakkan aku daripada berasa sunyi. Tujuan aku pergi ke Johor Bharu adalah atas dasar kerja. Boss aku ingin membuka satu lagi cawangan butik dekat Johor Bahru, jadi dia minta tolong aku untuk pergi tengokkan apa-apa yang patut.
TERNAMPAK SEORANG PAKCIK TUA
Hampir 12 malam, aku masih lagi belum sampai di Johor Bahru. Hanya ada 5 ke 6 kereta sahaja yang ada di atas highway pada waktu itu. Aku berhenti di RNR sekejap untuk membuang hajat. Aku keluar dari kereta dan berjalan ke arah tandas wanita.
Semasa aku ingin masuk ke dalam tandas, aku ternampak seorang pakcik tua yang sedang berdiri di tapak parking kereta seorang diri. Pakcik itu memakai baju berwarna biru tua sambil memegang tongkat merenung ke arah ladang kelapa sawit yang gelap.
Aku pelik dan tertanya kepada diri sendiri “Kenapa pakcik ni duduk seorang diri malam-malam macam ni? Dia tunggu siapa? Anak dia tinggalkan dia ke?”. Aku mula berasa tidak senang hati “Hantu ke ni?” tetapi dalam hati aku berkata “Tak mungkinlah hantu. Mana ada hantu yang pakai baju warna biru”.
Aku masuk semula ke dalam kereta dan teruskan perjalanan aku tanpa memikirkan tentang pakcik tua itu.
Selepas 1 jam perjalanan, aku ternampak pakcik tua tadi di tepi highway sambil memandang kereta aku. Aku cuak.
KERETA RASA BERAT
Tiba-tiba kereta yang aku pandu terasa sangat berat seolah-olah aku sedang membawa sesuatu yang sangat besar. Aku berasa seperti ada sesuatu yang sedang menggangu aku.
Aku memandang ke arah cermin pandang belakang dan aku ternampak pakcik tadi di atas bumbung kereta aku. Pakcik itu baring dan memandang ke arah aku dengan mata yang terbeliak dan mulut yang sedikit terbuka. Air liur pakcik itu menitis-nitis di tingkap belakang kereta aku. Wajah pakcik itu pucat. Aku takut dan berhenti melihat cermin pandang belakang. Bau di dalam kereta aku tiba-tiba menjadi busuk seperti bau bangkai.
Aku memasang Ayat Kursi di radio dengan kuat agar pakcik itu berhenti menganggu aku. Mulut membaca berberapa surah Al-Quran di dalam hati. Aku tidak boleh focus memandu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa takutnya aku pada ketika itu. Aku memandang kembali ke arah cermin pandang belakang kereta aku dan pakcik itu masih ada. Pakcik itu senyum kepada aku dengan senyuman yang sangat ngeri. Aku pandang semula kehadapan dan teruskan perjalanan dalam ketakutan dan cuba untuk focus memandu semula.
Selepas setengah jam, bau busuk itu pun hilang. Aku berasa sedikit lega apabila nampak ada beberapa kereta yang bersama-sama aku di atas jalan raya.
Aku sampai di Johor Bahru pada pukul 2 pagi, kemudian aku berhenti di sebuah kedai mamak kerana ibu aku pernah berpesan “Kalau diganggu sesuatu, berhentilah di mana-mana dulu sebelum pulang ke rumah atau meneruskan perjalanan”.
Pukul 3 pagi, aku sampai di Hotel. Aku mandi dan mengambil wuduk sebelum tidur. Aku berasa sangat penat. Malam itu aku tidur dengan lena. Alhamdullilah, pakcik itu tidak menganggu aku sampai ke Hotel.
Jika anda nak tahu tempat percutian yang menarik boleh ke website kami : TEMPAT PERCUTIAN
Sumber : FS