Pejabat Berhantu

Fax Itu Berbunyi… Tapi Wayarnya Tak Bersambung

2025-09-30

Pejabat Berhantu

“Fax Itu Berbunyi… Tapi Wayarnya Tak Bersambung”

“Saya terdengar dengan jelas bunyi gagang telefon fax itu diangkat… lalu diletakkan semula!”


 

Tahun itu saya bergelar novelis dan juga display artist. Dua kerja saya pikul serentak. Siang sibuk dengan tugasan penulisan, malam pula berperang dengan kerja grafik di pejabat.

Biasanya pejabat itu hanya riuh di siang hari. Menjelang pukul 7 malam, seorang demi seorang rakan sekerja beransur pulang. Tinggallah saya seorang diri di meja kerja, dengan lampu yang hanya menyinari sudut kecil tempat saya duduk. Kawasan lain kelam, gelap dan sunyi.

Untuk hilangkan rasa bosan, saya pasang lagu dari Note saya sambil menyiapkan tempahan grafik pelanggan.

Malam Yang Mengganggu

“BAMMM!”

Pintu tandas perempuan di hujung laluan dihempas kuat. Bunyi itu memang sudah menjadi ‘biasa’ setiap kali saya bekerja lewat malam. Ramai yang pernah bercerita tentang bunyi aneh dari arah tandas itu, tapi saya buat tak tahu.

Kadang-kadang saya bersuara sendiri, seolah-olah bagi amaran:

“Aku nak buat kerja ni!”

Dan peliknya, selepas saya bersuara, keadaan kembali tenang. Lagu pun terus berkumandang seperti biasa.

Namun malam itu ada sesuatu yang lain.

Truttt… truttt… truttt…

Telinga saya menangkap bunyi telefon berdering. Saya angkat kepala, mencari-cari meja siapa yang berbunyi. Tapi tak nampak apa-apa lampu menyala.

Bunyi itu muncul lagi. Kali ini lebih jelas. Pandangan saya tertancap pada mesin fax di depan bilik bos. Lampunya menyala!

“Eh, siapa pulak call fax malam-malam macam ni?”

Sedangkan, mesin fax itu jarang berbunyi. Kalau ada pun, siang hari. Baru saja saya nak bangun, bunyi itu tiba-tiba berhenti.

Saya kembali ke meja. Belum sempat duduk lama, sekali lagi bunyi itu kedengaran. Saya cuba mendekat. Dan pada saat itulah bulu roma saya berdiri tegak.

Truttt… klak! Kkluk!

Saya terdengar dengan jelas bunyi gagang telefon fax itu diangkat… lalu diletakkan semula!

Saya terpaku. Gagang telefon itu kini senget, tidak seperti kedudukan asalnya. Hati mula rasa tak sedap. Dan lebih menyeramkan, terasa ada hembusan angin dingin menyambar tubuh saya.

Bacaan Pendinding

Saya gagahkan diri kembali ke meja. Dengan tangan terketar-ketar, saya pasang Surah Yassin dari Note, sambil mulut membaca Ayatul Kursi berulang-ulang.

Namun, semakin saya membaca, suasana terasa semakin tegang. Pintu tandas perempuan sekali lagi dihempas kuat. Rasa seperti ada sesuatu berdiri di belakang saya.

Tanpa fikir panjang, saya kemas barang, tutup komputer, dan terus keluar dari pejabat.

Gangguan Berdepan

Beberapa hari kemudian, saya ceritakan pengalaman itu kepada rakan sekerja. Sejak itu, dia sendiri tak berani lagi kerja lewat malam.

Setahun selepas saya berhenti kerja, saya dengar berita mengejutkan. Seorang rakan lain yang juga ahli skuad badminton saya mengalami gangguan lebih dahsyat.

Sekitar pukul 9 malam, dia keluar dari tandas pejabat. Tepat di hadapan matanya, berdiri satu sosok tinggi menjulang, hampir mencecah siling 10 kaki pejabat.

Badan terasa kaku, darah seakan membeku. Makhluk itu merenung tajam dengan mata merah menyala.

Saya pernah nampak bayangan samar sosok itu dulu. Jadi saya cuba meneka:

“Mesti berambut panjang, bertocang, kulit pucat… betina, kan?”

Rakan saya mula-mula diam. Lama-lama dia mengangguk perlahan, wajahnya jelas berubah pucat. Trauma.

Rambut Misteri

Saya juga pernah menemui helaian rambut wanita di dalam tandas lelaki. Bukan sehelai dua, tetapi panjang luar biasa dan hitam pekat. Seolah-olah tandas itu pernah dimasuki staf wanita. Sedangkan, hakikatnya tidak.

Sejak itu, makin jelas bagi saya, selepas jam 9 malam, pejabat itu memang “hidup” dengan sesuatu yang bukan dari dunia kita.

Rakan saya yang terserempak depan mata akhirnya berhenti kerja juga. Katanya, pengalaman itu akan dia simpan sampai mati.

Dia pernah bertanya kepada saya: “Macam mana kau boleh teka rupa benda tu?”

Saya hanya tersenyum.

“Kuasa Allah.”

Jadi… berhantukah pejabat saya? Mungkin tidak. Tapi nyata, ia berpenunggu.

Sumber : FS

Artikel Lain